Pages

Monday, October 10, 2011

BaHaSa MeLaYu SeBaGai BaHaSa KeBaNGSaaN

1.0 PENGENALAN

Bahasa Melayu sudah menjangkau kewujudannya selama 2000 tahun bermula pada abad ke-3 Masehi tetapi ia terus relevan kerana ia tetap dimanfaatkan demi kemajuan tamadun bangsa Melayu. Kini, dalam zaman teknologi menguasai manusia pada era teknologi maklumat, bahasa perlu dimanfaatkan dengan mengeksploitasi sumber intelektual peribumi yang begitu lumayan dan kaya dengan nilai jati diri dan hati budi Melayu. Segala khazanah yang merentasi zaman ini berjaya dihasilkan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu wajar “diteknologikan” demi kemajuan bangsa serumpun. Kita beruntung kerana bahasa Melayu yang tumbuh di alam Melayu ini dapat berkembang subur seperti yang kita lihat sekarang. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu tidaklah tumbuh dan berkembang begitu sahaja tetapi ia bertujuan merakam peristiwa yang berlaku terhadap bahasa itu sendiri tetapi juga perlu agar kita menghargai, menyanyangi, memelihara, mengkaji, dan menggunakannya dengan baik dan sempurna.

Bahasa Melayu kini kian dilupakan oleh generasi muda malahan bahasa Melayu kurang digunakan dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang ilmu, pentadbiran, komunikasi dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita sebagai penutur bahasa Melayu ini harus sedar akan kemerosotan penggunaan bahasa Melayu. Jadi, semua pihak harus memainkan peranan untuk melaksanakan dan memperkembangkan bahasa kebangsaan daripada terus pupus di mata dunia. Oleh itu, badan-badan bukan kerajaan harus berganding bahu untuk merealisasikan harapan negara untuk melaksanakan dan memperkembangkan lagi bahasa kebangsaan kita. Misalnya, menurut Abdul Rashid: (2006), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), media massa dan individu-individu tertentu seperti Abdullah Hassan, Nik Safiah Karim dan lain-lain. Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa Malaysia.


2.0 BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

Bahasa merupakan cerminan masyarakat, budaya, akal budi, jiwa atau roh sesuatu bangsa. Keintelektualan dan tamadun bangsa yang besar di dunia jelas merupakan bukti peranan terbesar bahasa sesuatu bangsa. Bahasa kebangsaan dalam bahasa Inggeris adalah diistilahkan sebagai “National Languange”. Menurut Kamus Dewan (2005), mentakrifkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan rasmi oleh penduduk sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat. Asmah Hj Omar (2002 : 22) juga menyatakan bahasa kebangsaan menyatakan fungsi ideasional dan representasional. Fungsi representasional memperlihatkan bahasa sebagai alat komunikasi, alat berfikir dan alat persepsi. Fungsi ideasional didorong oleh emosi. Bahasa Melayu bermaksud, bahasa rasmi bagi empat buah negara merdeka yang berdaulat iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, (Kamal Shukri:2007). Bahasa Melayu merupakan bahasa bagi bangsa Melayu terutamanya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Kewujudan Dasar Bahasa Kebangsaan merupakan asas penting bagi perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Berdasarkan pendekatan St. Takdir Alisyahbana menyatakan bahawa dasar Bahasa Kebangsaan telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Sebagai undang-undang utama negara Perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala dasar kerajaan. Berdasarkan Perlembagaan di bawah Perkara 159(5). Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam batang tubuh Perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2).

Asmah Hj Omar (2002 : 54) pula mengatakan faktor terpenting pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ialah faktor endoglosia dan juga faktor pengalaman dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi sebelum tempat bahasa ini diambil alih oleh bahasa Inggeris dengan kedatangan penjajahan Inggeris. Faktor endologlasia bermaksud keadaan keperibumian yang mencirikan dasar bahasa sesuatu negara. Pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah bermakna bahawa bahasa-bahasa pendatang di Malaysia ini didiskriminasikan. Hak setiap bahasa asing itu terpelihara dalam Perlembagaan Malaysia (1972:116-7). Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ini perlu dibina dan dikembangkan menjadi bahasa moden, bahasa sains dan teknologi, bahasa pengucapan tinggi seperti yang termaktub dalam Akta DBP.

Walau bagaimanapun, bagi mengekalkan dan memperkembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita harus mengambil iktibar daripada sejarah perkembangan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, bahasa Melayu memang boleh diperkembangkan sebagai bahasa kebangsaaan dan seterusnya diperkasakan sebagai bahasa antarabangsa. Menurut Hassan Ahmad (2008), terdapat beberapa faktor yang lazimnya harus dilaksanakan untuk mengukuhkan lagi bahasa Melayu dan seterusnya memperkembangkan sebagai bahasa Kebangsaan iaitu, (1) wibawa dalama bahasa Melayu, (2) jumlah penggunaanya, (3) penyebaran geografinya, (4) wahana komunikasi ilmu, teknologi dan diplomasi, (5) kecemerlangan ekonomi bangsa yang menuturkan serta menggunakan bahasa itu, (6) keutuhan dan kestabilan politik bangsa yang menuturkan dan memakai bahasa itu.

3.0 PERANAN BADAN BUKAN KERAJAAN DALAM MELAKSANAKAN DAN MEMPERKEMBANGKAN BAHASA KEBANGSAAN

3.1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA)

PENA merupakan persatuan nasional yang pertama ditubuhkan pada tahun 1960. Pada 20 September 1969, PENA telah mengaturkan satu pertemuan di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang dihadiri oleh wakil-wakil 13 buah badan penulis dari seluruh Malaysia. Hasil daripada pertemuan itu, akhirnya pada 23 Oktober 1970, lahirlah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan ahlinya terdiri daripada 13 buah badan penulis. Penubuhan GAPENA adalah dengan beberapa tujuan yang tertentu demi memperkembangkan lagi bahasa melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Antara tujuan penubuhannya ialah (1) menyatupadukan penulis-penulis tanah air yang menulis dalam bahasa kebangsaan, (2) mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis, (3) memberikan sumbangan moral dan material secara kolektif kepada tujuan dan citia-cita Gabungan, (4) mengusahakan peluang-peluang untuk penulis-penulis memajukan bakat mereka, (5) menyatupadukan semua rakyat negara ini menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu bahasa Melayu, (6) mencari, mendapatkan dan mengendalikan harta alih dan harta tidak alih di mana-mana sahaja dalam Malaysia dan luar negara, dan bagi menyempurnakan tujuan ini, Gabungan bolehlah menubuhkan apa-apa entiti, syarikat, badan korporat atau yayasan, (7) berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sebagai salah satu daripada badan bukan kerajaan, GAPENA telah memainkan peranannya untuk memperkembangakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara peranan yang telah dilaksanakan oleh GAPENA adalah dilihat dalam konteks nasionalisme Malaysia dalam kalangan bangsa Melayu khususnya pada dekad 1970-an dan 1980-an. Tahun 1970-an semasa GAPENA mula membesar, pemimpin politik adalah ‘orang kita’ iaitu tokoh-tokoh yang merealisasikan cita-cita masyarakat budaya dengan terlaksanannya Dasar Bahasa Kebangsaan, Pelajaran Kebangsaan dan Kebudayaan Kebangsaan.

Selain itu, GAPENA juga mengadakan aktiviti lain seperti mengeluarkan majalah atau lidah rasmi, mengusahakan penerbitan karya penulis dalam rangka memperkayakan kesusasteraan dan ilmu pengetahuan dan mewakili penulis tanah air dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan penulis dalam persidangan dan pertemuan-pertemuan penulis di dalam dan luar negeri. GAPENA juga menjalankan kegiatan ekonomi yang membantu golongan penulis menjalankan langkah yang ditakrifkan patut dari semasa ke semasa yang bersesuaian dengan gabungan. GAPENA juga terlibat dalam projek Penulisan Kreatif Wilayah (1980-1999) yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), daripada bengkel penulisan di seluruh negara ini (yang melibatkan ahli-ahli Badan Gabungan), lahirlah karya para peserta dalam bentuk antologi cerpen dan novel. Hasil kegiatan pertemuan sastera dan peraduan penulisan anjuran GAPENA dan pelbagai genre telah diterbitkan dalam bentuk buku oleh DBP dan penerbit lain. GAPENA sendiri menerbitkan beberapa buah buku seperti Warisan Dunia Melayu: Teras, Peradaban Malaysia (1985), Maruah Merdeka (1987), Melayu Sri Lanka: Simposium Dunia Melayu Kedua (1990), Novel Restu (2000), Antologi Daik Bondaku (2001), Biografi Ismail Hussein (2002) dan sebagainya.

Selain itu, GAPENA juga mengadakan hubungan antarabangsa yang mana sering membawa rombongan penulis ke negara-negara ASEAN (Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand dan Filipina) malahan pernah mengadakan lawatan dan seminar di Vietnam, Korea Selatan, Sri Lanka, Afrika Selatan, Yunnan, China dan mengunjungi USSR, Republik Rakyat China dan terakhir ke Tanah Suci Makkah. Kesan daripada pelbagai pertemuan sastera dan peraduan penulisan yang telah diadakan GAPENA telah dapat mewujudkan suasana erat persahabatan kaum sasterawan dan budayawan di seluruh Malaysia, Nusantara dan Dunia Melayu. Namun perjuangan GAPENA untuk membina tamadun dunia berbahasa Melayu masih jauh jalannya. Inilah cita-cita yang cuba direalisasikan oleh kepimpinan Tan Sri Prof. Emeritus Dato’ Dr Ismail Hussein dalam tempoh 33 tahun ini. Pada dasarnya kegiatan GAPENA tidak terbatas dalam dunia sastera semata-mata, tetapi merangkumi usaha pembinaan tamadun dunia berbahasa Melayu secara harmoni tetapi dinamik, untuk mengikis sikap rendah diri akibat penjajahan Barat ratusan tahun lamanya. Selain itu, GAPENA juga turut menyatakan protes kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia. Hal ini kerana, dengan menjalankan dasar PPSMI, maka bahasa Melayu tidak akan lagi menjadi bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan. Oleh yang demikian, GAPENA pernah berjanji untuk mengadakan perarakan dari Rumah Gapena ke Istana Negara pada tarikh terbabit bagi menyatakan protes kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta mengambil tindakan undang-undang. Misalnya, mengadakan ceramah yang disampaikan oleh mantan Pengarah Urusan Sistem Penerbangan Malaysia (Mas), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan disusuli dengan laporan polis berhubung PPSMI di Balai Polis Dang Wangi.

Sehubungan dengan itu, GAPENA bergabung dengan Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP), melancarkan gerakan dengan bantahan secara aman pada 31 Januari 2010 yang lalu. GMP turut merancang untuk menyerahkan memorandum meminta ahli Parlimen membincangkan bahawa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan kaedah budaya yang akhirnya akan membunuh bahasa ibunda secara perlahan-lahan. Di samping itu, GAPENA juga telah berusaha untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan dengan melaksanakan penentangan terhadap Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967. Pada tanggal 15 Febuari 2010 merupakan tarikh penting dalam sejarah bahasa dan bangsa Melayu di negara ini kerana peristiwa Keranda 152 sebagai penentangan terhadap Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara.

3.2 Syarikat Swasta dan Media Massa

Usaha mendaulatkan serta mengembangkan bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara 152. Begitu juga syarikat swasta telah diberikan mandat di dalam menyelenggarakan sesebuah penempatan supaya peka dan lebih bertanggungjawab mendaulatkan bahasa kebangsaan di dalam memberi nama jalan mahupun nama yang berkaitan dengan kawasan seliaan mereka.

Pengembangan bahasa Melayu di sektor swasta dimulakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1996 melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta. Empat bidang utama diberi tumpuan perhatian, iaitu Perdagangan Dalam negeri, Industri Khusus, Industri Perkhidmatan Kewangan dan Media Massa. Dalam setiap bidang utama itu, terdapat beberapa subbidang hingga akhirnya terdapat lebih 10 bidang yang ditangani untuk mengembangkan bahasa kebangsaan dalam sektor swasta. Di bawah Perdagangan Dalam Negeri terdapat subbidang Kompleks Beli-belah, Perniagaan Francais, Makanan dan Minuman dan Telekomunikasi, Elektrik dan Elektronik manakala di bawah Industri Perkhidmatan Kewangan terdapat subbidang Perbankan, Syarikat Kewangan dan Insurans. Manakala di bawah media massa, terdapat Media Elektronik Swasta dan Pengeluaran Filem, Video dan Muzik.

Antara program yang dilaksanakan termasuklah kempen penggunaan bahasa kebangsaan, pemantauan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor swasta, khidmat nasihat bahasa, anugerah dan penghargaan, peraduan, khidmat pengeditan dan penerjemahan dokumen perniagaan dan kursus bahasa. Sejak digerakkan pada tahun 1996, secara beransur-ansur telah tampak kepekaan pihak swasta tertentu untuk ikut serta melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kempen dan gerakan yang dijalankan oleh media massa seperti kempen secara umum di kaca televisyen mahupun disiarkan di radio turut membantu dalam melaksanakan dan memperkembang bahasa. Sebagai contoh persatuan Linguistik Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan yang lain telah telah berhasil memperteguh ciri bahasa lisan formal bagi bahasa Melayu, terutama apabila penggunaannya di Stesen Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 membentuk citra istimewa bagi bahasa Melayu lisan rasmi. Malah merujuk Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia (1981: 53), dalam media cetak penggunaan bahasa Melayu semakin meningkat, misalnya antara 1966 sehingga 1978 daripada 12,755 judul buku yang telah diterbitkan dan didaftar di bawah Preservation of books Acts, 5,580 judul adalah dalam bahasa Melayu.

Selain itu, wakil Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Lim Chia Fook telah mencadangkan agar pihak swasta diberi dorongan dengan mendekatkan mereka agar dapat melihat nilai ekonomi dalam bahasa kebangsaan secara tidak langsung dapat menggalakkan dan memperkembangkan bahasa. Malah dalam Majlis Kebangsaan kuala Lumpur, Datuk Jins Samsudin telah membangkitkan isu penggunaan bahasa kebangsaan dan isu itu dibangkitkan ketika pembentangan Dokumen C, Laporan Perkara Berbangkit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta Bil 1/2003 pada 17 Disember 2003. Malah beliau mencadangkan agar nama bangunan atau bilik hotel menggunakan bahasa kebangsaan sekaligus bukan sahaja memartabatkan bahasa malah dapat mengembangkan bahasa.

3.3 Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM)

Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaysia (PASPAM) telah ditubuhkan pada 7 April 1934 sebagai satu pertubuhan dengan rasminya. Mohd. Al – Khatib (sidang pengarang Saudara) dan Ariffin Isyahak telah memainkan peranan penting bagi menubuhkan Sahabat Pena. Tujuan penubuhannya untuk menggalakkan karang-mengarang dan baca-membaca dalam bahasa Melayu, meluaskan pengetahuan sejarah, adat resam dan bahasa Melayu, dan mahu menubuhkan perpustakaan untuk kegunaan ahli-ahlinya. Sejak PASPAM ditubuhkan pada tahun 1934 sebanyak 7 kali perjumpaan agung telah diadakan pada 1934 di Taiping, Kuala Lumpur (2kali); 1936 di Pulau Pinang;1937 di Singapura; 1938 di Ipoh dan 1939 di Seremban (Abdul Latif Abu Bakar 1992:129). Pada mulanya kegiatan ini dikenali sebagai persekutuan Pena, tapi kemudiannya dinamakan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM). Kebanyakkan ahli PASPAM terdiri daripada guru-guru Melayu dan kakitangan kerajaan serta beberapa orang pedagang-pedagang, peniaga-peniaga kecil dan lain-lain. Bagi mengkhususkan kegiatan PASPAM dalam kegiatan penulisan dan bahasa, jawatankuasa PASPAM telah membentuk Lembaga Bahasa (1938) yang berpusat di Batu Pahat yang diketuai oleh Bahanan bin Yusuf. Lembaga ini merangka lapan tugas. Di antara kegiatan yang telah diaturkan dalam jawatankuasa ini ialah :

  1. Menerbitkan buku-buku adat Melayu
  2. menerbitkan sejarah negeri-negeri Melayu
  3. menerbitkan kamus
  4. menerbitkan almanak
  5. menyatukan satu sistem ejaan yang tetap untuk ahli-ahli
  6. membeli karangan-karangan
  7. mencipta istilah bahasa Melayu berdasarkan perkataan Inggeris.

PASPAM juga berjaya menerbitkan majalah bulanan, Pemberita Pejabat PASPAM (1938), dan dua buah almanak, Taman PASPAM (1940 dan 1941). Lembaga Bahasa PASPAM, buat pertama kalinya mengadakan peraduan karang-mengarang pada 25 Mei 1939. Ini merupakan peraduan mengarang rencana yang pertama kali diadakan di Tanah Melayu. Di samping itu, PASPAM (Di bawah kelolaan Lembaga Bahasa) telah menerbitkan majalah tahunan yang bernama Taman PASPAM.

Mengikut W.R. Roof dalam bukunya Nasionalisme Melayu PASPAM bukan sahaja satu pertubuhan yang ingin “mempertahankan kebudayaan” seperti sebelumnya, namun ia jauh bezanya dalam beberapa hal yang penting. Ini memandangkan kerana:

i. Ia merupakan pertubuhan Melayu yang pertama meliputi Malaya pada ketika itu dan mempunyai anggota-anggota yang ramai jumlahnya daripada anggota-anggota badan lain yang terdahulu daripadanya.

ii. Ia mengadakan satu jalan keluar yang selamat dari segi politik, yang terbahagi baik untuk menyatakan kegelisahan Melayu yang bukan sedikit, serta perasaan yang tidak selamat mereka. Selama ini, mereka tertekan atau mereka dinyatakan secara terhad sahaja dalam persatuan-persatuan setempat yang bertaburan dan tidak kekal lama.

iii. Ia dengan tegasnya berkehendakan kesetiaan orang Melayu kepada bahasanya sebagai semboyan yang kemudiannya mengambarkan gerakan nasionalis yang berslogankan ”Hidup Bahasa ! Hidup Bahasa!”.

Perjuangan PASPAM yang tidak melibatkan politik dalam kegiatan-kegiatannya, telah menyebabkan penulis-penulis dan aktivis yang cenderung pada politik tidak berminat pada PASPAM. Namun begitu, PASPAM sedikit sebanyak telah mendorongkan ahli-ahlinya bertukar-bertukar fikiran terhadap nasib bangsa Melayu dan politik ketika itu. (Abdul Latif Abu Bakar, 1992:134).

4.0 PERANAN INDIVIDU

4.1 Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim merupakan antara tokoh dan cendekiawan tanahair yang aktif memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Dedikasi beliau yang tidak boleh dinafikan menjadikannya disegani ramai dan menjai idola kepada anak-anak muda di institusi pengajian tinggi yang mengikuti bidang linguistik dan sastera. Kerjaya akademik beliau telah bermula dengan perlantikan beliau tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1963. Sepanjang kerja beliau telah berjawatan pensyarah, professor madya dan dilantik Professor Pengajian Melayu. Antara sumbangan beliau dapat dilihat dari jawatan yang beliau sandang, antaranya Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982 sehingga1983 dan 1992 sehingga 1994 , Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 984 sehingga 1986 dan Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu dari tahun 1990 sehingga 1992.

Sementara di antara tahun 1989 hingga 1990, beliau telah dipinjamkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Di sini beliau terus menabur berbakti dalam perjuangan mengutuhkan bahasa Melayu bukan sahaja di tanahair tetapi juga di seluruh dunia. Ini dilihat dari perlantikan beliau selama 14 tahun dalam Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Jawantankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) yang mewakili Malaysia di pertemuan Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM). Selain itu beliau merupakan ahli jemputan dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Kepakaran beliau telah menjadikan beliau pakar rujuk bahasa yang sering dijemput. Beliau ada memberi khidmat kepada Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam.

Memandangkan kegigihan beliau ini maka tidaklah beliau adalah salah seorang pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi Presiden selama 18 tahun. Kini beliau menjadi penasihat persatuan tersebut. Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu beliau telah banyak menulis dan menghasilkan buku, kertas kerja, dan makalah dalam bidang Bahasa dan pengajian wanita. Antara bukunya yang terkenal ialah Tatabahasa Dewan (dengan tiga orang penulis lain), Yang Indah Itu Bahasa (Jilid I), Bimbingan Pelajar Bahasa Kita (Jilid 2), Beberapa persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu, dan Bahasa Melayu Grammar untuk Akademisi dan Profesional. Kini, beliau muncul semula dengan buku baru yang lengkap sebagai rujukan umum iaitu sebuah 'Liku-liku bahasa '.

Buku ini bertujuan untuk memenuhi keperluan peminat bahasa, guru bahasa, para pelajar dan sesiapa sahaja yang ingin mendalami penggunaan Bahasa Malaysia dengan lebih cemerlang. Perbincangan dibahagikan kepada tiga bidang. Dua bab pertama menumpukan perhatian terhadap persoalan ejaan dan kamus, kerana ini amat penting difikirkan perlu diulangi dan ditegaskan serta kepada para pembaca. Bahagian kedua menumpukan perhatian kepada aspek-aspek Sintaksis, iaitu ayat. Penekanan adalah huraian semua untuk memberi penjelasan. Kadang-kadang mirip pendekatan kepada aspek-aspek yang mendapat tekanan dalam peperiksaan kertas-kertas agar para pelajar dan guru mendapat manfaat sepenuhnya daripada buku ini. Dengan kemunculan buku ini secara tidak langsung dapat membasmi rojak penggunaan bahasa yang semakin berleluasa dalam kalangan pelajar. Begitulah usaha yang telah dilakukan oleh Nik Safiah Karim dalam usaha memperkembangkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

4.2 Abdullah Hassan

4.2.1 Memperjuangkan peranan bahasa sebagai bahasa pengantar

Pendidikan

Prof. Abdullah adalah antara sarjana yang kuat memperjuangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan demi memandaikan rakyat, bagi mengekalkan nilai dan jati diri melalui himpunan memori bangsa yang dipindahkan hanya melalui bahasa peribumi, dan demi membina kreativiti peribumi. Prof. Abdullah Hassan juga bergerak aktif dalam aktiviti persatuan bahasa. Beliau adalah ahli seumur hidup Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM). Pada masa ini beliau adalah Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1997 - sekarang). Di bawah pimpinannya beliau meneruskan usaha mengadakan persidangan penterjemahan antarabangsa, iaiatu Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-7 (1999), Ke-8 (2001), Ke-9 (2003), ke- 10 (2005), dan yang terakhir Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-11 (PPA-11) yang diadakan pada 21-23 November 2007. Persidangan itu dianjurkan oleh Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM).

4.2.2 Bantahan terhadap PPSMI

Ramai dari kalangan yang memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu itu terdiri daripada mereka yang cukup fasih dalam bahasa Inggeris, baik dalam pertuturan mahupun tulisan. Malahan mereka menggunakan bahasa Inggeris setiap hari. Tidak pernah terdengar ada di antara mereka melarang sesiapa belajar bahasa Inggeris atau bahasa apa pun. Yang diperjuangkan oleh mereka ialah kedudukan bahasa Melayu itu mestilah terus dipelihara sebagai bahasa rasmi dan dipupuk sebagai bahasa moden dan bahasa ilmu di negara Malaysia yang merdeka lagi berdaulat ini. Mengubah bahasa pengantar di sekolah dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris akan mengancam dan memusnahkan kedudukan bahasa Melayu baik dalam jangka pendek mahupun panjang. Inilah yang mereka tentang.

Mengenai bantahan terhadap PPSMI, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan begitu berani, cekal dan pragmatik dengan bantahan beliau terhadap PPSMI. Beliau telah turun ke pentas jalanan untuk menyampaikan mesejnya secara jelas. Hasil kesabaran dan ketekunan tokoh bahasa yang sekarang menetap di UPSI ini akhirnya menemui titik cahaya di hujung terowong. Kedua-dua tokoh ini boleh dijadikan teladan hidup kerana mereka berdua saya klasifikasikan “sangat mahir” berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris tetapi begitu indah tutur-kata mereka apabila berbicara di dalam bahasa Ibunda - bahasa Melayu. Beliau telah bertungkus-lumus melakukan analisa, meluahkan pendapat sehingga akhirnya termansuh PPSMI.

4.2.3 Bahasa sebagai ilmu sosiolinguistik

Menurut Abdullah Hassan (2002), setiap bangsa memiliki minda asli masing-masing tetapi minda asli tersebut dapat hilang apabila minda itu dikuasai oleh bahasa asing. Bangsa Melayu mempunyai minda asli tetapi hilang apabila minda Melayu itu dikuasai oleh bahasa Inggeris. Ini yang dikatakan sebagai minda tawanan. Minda tawanan tidak berupaya mencipta, maka oleh itu, akan hanya menjadi konsumer sahaja kepada produk-produk mental dan fizikal keluaran minda asal.

Satu lagi pendekatan yang biasa digunakan untuk melihat bahasa dan masyarakat ialah ilmu sosiolinguistik. Sosiolinguistik selalunya melihat fenomena bahasa dan masyarakat. Antara apa yang menjadi bahan kajian ialah bilingualisme, perancangan bahasa dan sebagainya. Kekeliruan kerap kali muncul dalam kalangan puak yang menilai pejuang bahasa. Tidak ada teori yang mengatakan menguasai lebih dari satu bahasa itu tidak baik. Malah kita digalakkan menjadi poliglot iaitu orang yang boleh berbahasa banyak bahasa. Hal ini kerana dengan ini kita akan lebih terdedah dengan ilmu-ilmu yang ditulis dalam bahasa tersebut. Tetapi pejuang bahasa selalu disalah mengertikan apabila menolak bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di sekolah.

Mendaulatkan bahasa kebangsaan dengan mengamalkan sikap dwibahasa adalah dua perkara yang berlainan sama sekali. Menentang penggunaan BI sebagai bahasa penghantar bukan bermakna menentang pembelajaran bahasa kedua. Perlu diingat bahawa bahasa penghantar dan bahasa ilmu adalah dua perkara yang berbeza sama sekali. Kekeliruan inilah yang harus ditangani. Ahli sosiolinguistik seharusnya dapat membantu menjelaskan fenomena ini. Akan tetapi oleh kerana bahasa ini ialah bahasa bangsa Melayu maka ‘perjuangan’ untuk memajukan bahasa ini sebagai bahasa negara, tidak hanya sebagai bahasa orang Melayu, lebih banyak dilakukan oleh orang Melayu, baik orang perseorangan atau oleh persatuan dan kumpulan NGO Melayu. Misalnya, persatuan guru-guru Melayu dan pertubuhan bahasa, sastera dan budaya Melayu, termasuk Asas 50 (dan kemudiannya PENA atau GAPENA selepas Kemerdekaan), giat memperjuangkan bahasa Melayu sehinggalah tuntutan dan desakan mereka diterima oleh pihak yang menentukan dasar bahasa itu dalam tahun 1957.

4.3 Awang Sariyan

Prof. Dr. Awang Sariyan yang dilahirkan pada 20 Oktober 1953 merupakan seorang ahli bahasa Malaysia yang terkenal. Beliau telah banyak menulis rencana bimbingan bahasa Malaysia kepada pelajar serta menghasilkan banyak buku panduan bahasa, buku ilmiah, buku umum dan kamus. Prof. Dr. Awang Sariyan telah menyandang pelbagai jawatan termasuklah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), iaitu program kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU. Karya Prof. Dr. Awang Sariyan meliputi puluhan buku ilmiah, buku umum, buku teks dan kamus, ratusan rencana ilmiah dan umum dalam pelbagai jurnal, majalah dan akhbar, serta melebihi 200 kertas kerja seminar di dalam dan di luar negara, antaranya Australia, Belanda, Brunei, Jerman, Kemboja, Korea, Perancis, Republik Rakyat China, Indonesia, Singapura, Sri Lanka dan Thailand. Sebahagian kertas kerja itu merupakan ucap utama, kertas kerja utama, syarahan dan kertas dasar.

Dari tahun 2000 hingga tahun 2008, Prof. Dr. Awang Sariyan menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan aktif dalam gerakan perjuangan bahasa, selain menganjurkan kursus bahasa dan penulisan untuk golongan profesional dan menganjurkan seminar di dalam dan di luar negara, serta menerbitkan buku dan jurnal bahasa. Prof Dr. Awang Sariyan juga memiliki banyak pencapaian di peringkat antarabangsa. Antaranya ialah sejak tahun 1992, Prof Dr. Awang Sariyan telah dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura dalam bidang pengajaran bahasa Melayu (sebutan dan tatabahasa) dan pada tahun 2001 hingga tahun 2006 sebagai perunding projek penyediaan bahan pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah Singapura.

Prof Dr. Awang Sariyan juga merupakan seorang tokoh bahasa yang lantang serta tidak putus-putus menyuarakan bantahan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Prof Dr. Awang Sariyan berpendapat bahawa usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa-bahasa ranah lain hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua peringkat warganegara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu merupakan salah satu dasar negara yang perlu senantiasa dipertahankan oleh segenap lapisan warganegara, daripada penggubal dasar kepada pelaksana dasar dan masyarakat awam.

Prof. Dr. Awang Sariyan juga pernah mengesyorkan agar nama kompleks mahkamah di Putrajaya iaitu “Palace Of Justice” di Melayukan. Selain itu, Prof. Dr. Awang Sariyan turut menyokong cadangan untuk mewajibkan kursus Bahasa Melayu kepada pelajar asing. Beliau menyokong ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 orang pelajar asing di Institusi Pengajian Tinggi di negara ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Dato’ Seri Mohd. Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Ketetapan tersebut sebenarnya merupakan pengisian dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan Malaysia sendiri sebagai susulan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan tiga subjek wajib untuk diikuti oleh pelajar asing iaitu bahasa Melayu, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Moral.

Langkah ini bertujuan untuk memperdanakan bahasa Melayu dalam kalangan warga dunia kerana pelajar yang pulang ke negara masing-masing pasti dapat menjadi sumber pengembangan bahasa Melayu di negara masing-masing. Dengan terdapatnya 130 buah Institusi Pengajian Tinggi di 45 buah negara sedunia yang mengajarkan pengajian Melayu, langkah kerajaan Malaysia memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar dari luar negara yang belajar di negara ini pasti dapat mengingkatkan martabat bahasa Melayu dengan lebih cepat dan meluas.

4.4 Za”ba

Za’ba atau nama penuhnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Bin Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan Darul Khusus. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Linggi dalam tahun 1907 dan kemudian ke St. Paul Institution, Seremban sehingga lulus Senior Cambridge. Beliau pernah bekerja sebagai Guru Bahasa Melayu di English College, Johor Bahru, sebagai penterjemah pengarang Berita Radio, penulis Setiausaha Agung UMNO, pensyarah bahasa Melayu di Universiti London dan terakhir sekali sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu,Universiti Malaya,Singapura.

Za’ba muncul sebagai seorang cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an lagi. Beliau juga merupakan seorang sasterawan dan pemikiran Melayu yang giat menulis sekitar tahun 1940- an. Beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia. Za’ba merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.

Di antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah Pelita Bahasa Melayu, Ilmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi/Rumi yang menjadi rujukan dalam penggunaan tatabahasa bahasa Melayu. Antara rencana beliau yang terkenal ialah Modern Developments of Malay Literature dan Malay Journalism in Malaya. Di samping buku bahasa Melayu, beliau turut bergiat menterjemahkan buku-buku asing ke bahasa Melayu untuk mengisi kekosongan buku-buku pengetahuan dalam bahasa Melayu. Beliau menggunakan pelbagai jenis nama pena, antaranya ialah Anak Melayu Jati, Patriot yang bermaksud orang yang kasihkan bangsa dan tanah airnya, Z Penjelmaan, Z Penjelmaan c/o Patriot, Melayu yang beragama Islam, Z dan Melayu, dan Yang Hina Patriot.

Za’ba adalah seorang sarjana dan ahli fikir Melayu. Za’ba ketika hidupnya menulis berkenaan dengan berbagai-bagai tajuk iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, agama, serta etika dan ekonomi orang Melayu. Namun demikian, perhatian dan minat beliau lebih besar dalam bidang bahasa lantas mendorong kesungguhan beliau dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, iaitu memperluas dan mengekalkan darjat bahasa Melayu di mata masyarakat yang diperkukuhkan oleh kesedaran serta keyakinan dan semangat yang mendalam. Za’ba dikenali, disanjung dan dikenang sebagai pejuang bangsa, ilmuan pendidikan dan bahasa, tokoh agama dan politik. Za’ba merupakan tokoh intelektual ulung Melayu dalam pembinaan kemajuan pemikiran bangsa dan pembangunan dan pencetus kesedaran politik negara. Beliau diiktiraf sebagai pengasas paling dinamik dalam perkembangan Pengajian dan Persuratan Melayu dan peningkatan keintelektualan Melayu. Beliau juga mempunyai kesedaran betapa pentingnya strategi penyelesaian masalah kepada perkembangan ekonomi, sosial dan budaya bangsa.

Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim (2004) mengemukakan pandangan yang berikut iaitu orang Melayu khususnya terhutang budi kepada Za’ba. Pendeta Za’ba ialah seorang tokoh Pendidikan, Bahasa, Persuratan, Sasterawan, Budayawan, dan Nasionalis. Di seluruh Malaysia dan Alam Melayu, beliau tersohor sebagai Bapa Bahasa Melayu Moden dan penulis yang sangat disegani. Himpunan ratusan karyanya, dari Pelita Bahasa Melayu hinggalah ke rencana-rencana dalam pelbagai penerbitan mengenai sejarah, kesusasteraan, kebudayaan, sosial dan politik, telah dan terus meniupkan semangat juang bangsa. Jasa-jasa beliau sangat besar dan telah dikurniakan beberapa anugerah seperti Doktor Persuratan dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1962, beliau telah dianugerahkan pingat PMN yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang Di Pertuan Agong. Gelaran Pendeta dikurniakan ketika berlangsungnya Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru tahun 1956. Pendeta Za’ba telah kembali ke rahmatullah pada 23 Oktober 1973.

4.5 Harun Aminurrashid

Nama sebenar beliau ialah Harun bin Mohd Amin. Beliau dilahirkan pada 8 haribulan Ogos 1907 di Kampung Telok Kurau, Singapura. Beliau juga menggunakan nama pena yang lain seperti Har, Gustam Negara, Atma Jiwa dan Si Ketuit. Sejak kecil lagi Harun amat gemar membaca dan ini akhirnya mendorong beliau untuk mengarang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau dan kemudiannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Beliau kemudian menjadi guru di maktab tersebut setelah menamatkan pelajaran di sana. Novel pertama beliau, “Melur Kuala Lumpur” telah diterbitkan di Tanjung Malim pada April 1930.

Di Maktab Perguruan Sultan Idris, Harun mengasah bakat penulisan beliau dengan menyumbangkan karya-karya kepada majalah dan akhbar. Sebagai guru, beliau berusaha untuk menanamkan semangat kebangsaan kepada setiap penuntut. Disebabkan kegiatan ini, beliau telah dihantar ke Brunei pada tahun 1939 dan menetap di sana hingga tahun 1946. Selepas Perang Dunia Kedua, Harun telah dipenjarakan selama 86 hari oleh pihak British kerana dikatakan telah bekerjasama dengan Pemerintah Jepun. Pada tahun 1946, beliau pulang ke Singapura tanpa jawatan “Guru”.

Di Singapura, Harun meneruskan hidup beliau dan menentukan nasib keluarga beliau melalui media persuratan. Beliau bekerja dalam penerbitan akhbar dan majalah Singapura dan ternyata menimbulkan kejayaan pada diri beliau. Suratkhabar dan majalah yang dipimpin oleh beliau termasuk “Hiburan”, “Kencana”, “Mutiara”, “Fashion”, “Melayu Raya”, “Filem Raya”, “Tunas”, “Belia”, “Seni”, “Mingguan Melayu” dan “Medan Sastera”. Harun mengarang novel-novel sejarah dan juga cerpen, buku-buku pengetahuan, bahasa dan kebudayaan. Hasil dari pengalaman dan kenangan pengembaraan, beliau telah menulis kisah-kisah pengembaraan seperti “Melihat Matahari Tengah Malam”, “Mengembara ke Andalusia” dan “Meninjau ke Negeri Sham”.

Antara tanggungjawab yang disandang Harun ialah Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Melayu, Yang Dipertua Majlis Pelajaran Melayu, Ketua Umum Budaya, Ketua Rombongan Perwakilan Ahli-Ahli Bahasa Tanah Melayu ke Kongres Bahasa di Medan, Pengerusi Persidangan Kongres Pemuda Melayu di Kuala Lumpur tahun 1955, Ketua Seksi Kebudayaan; Penyimpan Amanahnya dan Ketua Seksi Kebudayaan Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Ketua Satu Parti Rakyat Singapura. Bersama dengan sekumpulan wartawan, beliau telah diundang untuk melawat England dan Eropah atas jemputan pihak Pejabat Tanah Jajahan British. Atas jasa dan sumbangan cemerlang menghasilkan novel Melayu yang bercorak sejarah, Harun telah dianugerahkan Certificate of Merit dari Dictionary of International Biography, London pada tahun 1968. Harun bin Mohd Amin telah meninggal dunia pada 9 November 1986.

5.0 KESIMPULAN

Dalam mendepani arus pembangunan dan rempuhan gelombang globalisasi masa kini, kekukuhan bahasa Melayu tampak seperti tercabar, lebih-lebih lagi dengan pendominasian bahasa Inggeris dalam komunikasi dan informasi global. Jaminan untuk menjadikan bahasa Melayu itu kukuh dan tetap utuh bertahan seperti hari ini terletak di tangan pemiliknya, iaitu bangsa Melayu itu sendiri. Apa yang penting adalah untuk mengimbau kesedaran dan tindakan mereka untuk menjamin bahasa Melayu tidak dipinggirkan dalam arus perdana pembangunan. Keperluan terhadap peneguhan sikap bangsa Melayu terhadap bahasa Melayu sebagi warisan budaya bangsa yang paling berharga menjadi lebih penting dan mendesak dalam konteks globalisasi kerana jika tidak, kita mungkin akan kehilangan jati diri dan nilai setempat. Sebagai warga korporat yang berbangsa Melayu, kami melihat peranan bahasa Melayu itu sama pentingnya dalam semua urusan baik di sektor awam mahupun di sektor swasta. Lebih-lebih lagi apabila ada badan korporat didaftarkan sebagai badan korporat tempatan dan ianya beroperasi dalam persekitaran yang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara serta meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu inti pati falsafah Negara iaitu konsep Melayu Islam Beraja.

Konsep menangani tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibility) sebagai komponen penting dalam proses urusniaganya dilihat sangat relevan untuk mempromosikan badan korporat sebagai warga korporat yang bertanggungjawab. Pelaksanaa tanggungjawab social ini dimanifestasikan dalam penglibatan badan ini dalam kegiatan-kegiatan yang berbentuk pelaburan sosial, termasuklah kegiatan-kegiatan mempromosikan budaya dan bahasa Melayu. Sebagai contoh, lihat kegiatan yang diungkayahkan oleh Syarikat Minyak dan Brunei Shell Sdn. Bhd. (BSP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam. Oleh itu, peranan pihak-pihak tertentu seperti swasta, badan korporat dan individu dalam usaha mengukuhkan lagi penggunaan bahasa Melayu harus dibanggakan. Hal ini kerana, dengan usaha yang dilakukan ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan dan memantapkan lagi kedudukan bahasa di tengah-tengah badai globalisasi yang semakin deras melanda dan dengan demikian mengukuhkan lagi jati diri bangsa.

BIBLIOGRAFI

Abdul Latif Abu Bakar, (1992). Peranan PASPAM dalam Kegiatan Bahasa dan Sastera Melayu. Dalam S. Othman kelantan. Pergerakan bahasa dan Sastera Melayu 1888-1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Hassan (2007). Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris Bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemahan Malaysia.

Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Maulan (2006). Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Asmah Haji Omar. (2002). Setia dan Santun Bahasa. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Awang Sariyan. Ceritera Tentang Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Diperolehi pada Ogos 23, 2010 daripada http://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=print&sid=193.

Diperolehi pada Ogos 20, 2010 daripada http://www.ujanailmu.com.my/gapena__33_tahun.cfm.

Hassan Ahmad, Dr., (2000). Imbasan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hassan Ahmad, Dr., (2008). ‘’Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Salah Satu Bahasa yang Berpengaruh di Dunia’. Ucaptama di Seminar Memperkasakan Bahasa Melayu, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Institut Perguruan Ipoh: 15 April 2008.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi?. Kuala Lumpur: Publishing Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim (2007). Liku-Liku Bahasa: Ke Arah Penggunaan Bahasa yang Baik, Betul dan Indah. Kuala Lumpur: Cerdik Publication Sdn. Bhd.

Noriah Mohamed (1998). Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Malaysia : Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

0 CoNViNieNT: