Pages

Monday, October 10, 2011

LoGiK DaN MaKNa

1.0 PENGENALAN

Semantik merupakan kajian makna istilah. Perkataan ini berasal daripada perkataan Greek “semantikos” yang membawa maksud “erti yang penting”. Menurut Abdullah Hassan (1992:1), sematik ialah istilah yang merukjuk kepada kajian makna. Oleh sebab itu, makna adalah sebahagian daripada bahasa, maka sematik juga adalah sebahagian daripada linguistik. Ullman (1972) pula menyatakan bahawa apabila seseorang memikirkan maksud sesuatu perkataan, sekaligus memikirkan rujukannya atau sebaliknya. Hubungan dua hala antara maksud dengan perkataan itulah yang menyebabkan lahirnya makna, oleh yang demikian walaupun rujukan tetap, namun makna dan perkataan dapat dibezakan.

J.W.M. Verhaar (1996:13) berpendapat bahawa “Semantik adalah cabang linguistik yang akan membahas erti atau makna”. Abdul Chaer (1994:284) menyatakan “Semantik merupakan bidang kajian linguistik yang mana objek penelitiannya adalah makna bahasa”. Manakala menurut R. H. Robins (1992:24) mendefinisikan semantik sebagai “Makna merupakan atribut bukan sahaja dari bahasa melainkan pula dari segenap sistem tanda dan lambang dan kajian makna dinamakan semantik”. Seterusnya Aminuddin (1988:15) menyatakan “Semantik berasal daripada bahasa Yunani mengamdungi makna untuk memaknainya. Sebagai istilah teknis semantik mengandungi pengertian kajian tentang makna”. Daripada makna-makna yang dikemukakan oleh ahli-ahli semantik tersebut, kita dapat menyimpulkan bahawa semantik merupakan salah satu cabang kajian linguistik yang membahas tentang makna.

Semantik merupakan suatu bidang linguistik yang mengkaji perihal makna atau analisis makna secara sinkronis dalam bahasa. Sesetengah ahli bahasa berpendapat bahawa bidang semantik merupakan antara bidang linguistik yang paling sukar dipelajari dan dikuasai. Hal ini sedemikian adalah disebabkan bidang semantik merupakan suatu bidang kajian linguistik yang amat kompleks dan luas dari segi ruang lingkup unit pengkajiannya. Dalam bidang semantik, konsep ‘makna’ boleh diklasifikasikan lagi kepada beberapa kategori topik kajian yang berbeza-beza. Misalnya, ‘makna logik’ merupakan salah satu unit kajian yang terdapat dalam bidang semantik.


2.0 MAKNA

Menurut Dr. T. Fatimah Djajasudarma (1993), pengertian makna (sense) adalah berbeza dengan erti (meaning) di dalam bidang semantik. Makna adalah pertautan yang terdapat di antara unsur-unsur bahasa itu sendiri. Makan menurut Palmer (1976) hanya menyangkut intrabahasa. Manakala Lyons (1977) pula menyebutkan bahawa mengkaji atau memberikan makna sesuatu kata adalah memahami kajian kata tersebut yang berkenaan dengan hubungan-hubungan makna yang membuat kata tersebut berbeza dengan kata-kata yang lain. Selain itu makna dikatakan sebagai penghubung bahasa dengan dunia luar sesuai dengan kesepakatan para pemakainya (penutur) sehingga dapat saling memahami dan mengerti.

Selain itu, menurut Abdul Chaer (1990), dalam pelajaran bahasa sering dikatakan bahawa kata mati, misalnya sama maknanya dengan kata meninggal. Menurut teori semantik, kata mati dan kata meninggal tidak sama maknanya. Hal ini kerana, jika kedua-dua kata tersebut mempunyai makna yang sama, maka sudah semestinya kedua-dua perkataan tersebut dapat ditukarkan kedudukannya secara bebas. Kata mati dalam perkataan “ Ayam itu sudah mati” tidak dapat ditukar dengan kata meninggal sehingga menjadi “Ayam itu sudah meninggal”. Perkataan “Ayam itu sudah meninggal” tidak dapat diterima dalam bahasa.

Perkataan mati dan meninggal sebenarnya tidak membawa makna yang sama namun mempunyai informati yang sama. Kedua-dua perkataan tersebut membawa informasi bahawa sebelumnya adalah bernyawa, setelah mati atau meninggal, menjadi tidak bernyawa lagi. Informasi bukanlah makna kerana makna menyangkut keseluruhan dalam ujaran (intralingual), sedangkan informasi itu hanya menyangkut masalah luar ujaran (ekstra-lingual). Dengan kata lain, makan menyangkut semua komponen konsep yang terdapat pada sebuah kata, sedangkan informasi hanya menyangkut komponen konsep dasarnya sahaja.

Perbandingan kata mati dan meninggal dapat dilihat dalam komponen-komponen konsep maknanya seperti berikut:

mati meninggal

(i) Tidak bernyawa lagi (i) tidak bernyawa lagi

(ii) Untuk umum (manusia, binatang (ii) hanya manusia

dan sebagainya)

(iii) Kasar (iii) halus (sopan)


3.0 LOGIK

Logik merupakan satu perkataan yang berasal daripada perkataan greek iaitu ‘logos’ yang bermaksud fikiran, idea, hujah, alasan atau prinsip. Logik merupakan satu pengajian tentang prinsip-prinsip kesahihan tentang sesuatu sama ada diketahui secara tidak langsung iaitu inferens ataupun sesuatu yang diketahui setelah dijalankan kajian iaitu demonstrasi. Logik merujuk kepada turutan cara mendapatkan sesuatu rumusan berasaskan kepada beberapa andaian kukuh. Logik juga turut digunakan dalam elektronik digital. Tingkah laku litar digital biasanya diputuskan melalui penggunaan litar-litar logik yang dipanggil get logik. Walau bagaimanapun, dalam bidang sematik, ‘makna logik’ pula merupakan makna yang ditinjau dari sudut kebenaran iaitu makna yang dapat diterima oleh akal manusia

Secara realitinya, sesuatu bahasa tidak mempunyai unsur logikal tetapi bahasa itu dapat digunakan sebagai bahan atau media untuk berfikir secara logik. Dalam bidang sematik, sesuatu ungkapan bahasa boleh dikatakan mempunyai makna logik atau tidak logik. Dalam kehidupan harian, pertuturan atau penggunaan bahasa kita akan dikatakan sebagai ‘logik’ atau ‘logikal’, sekiranya ia menunjukkan suatu perilaku yang boleh diterima akal atau dapat masuk akal ataupun ia adalah bersesuaian dengan kebiasaan dan kebudayaan setempat atau umum.

Sebagai contoh ayat yang logik dan tidak logik dapat dilihat seperti berikut:

(i) Matahari terbenam di sebelah timur

( tidak logik dan tidak masuk akal)

(ii) Matahari terbenam di sebelah barat

( logik dan diterima akal)

Ayat (i) dikatakan tidak betul dan tidak logik kerana pernyataan dalam ayat tersebut dikatakan telah melanggar kebiasaan umum. Hal ini kerana secara kebiasaannya matahari terbenam di sebelah barat dan bukan di sebelah timur. Oleh itu, ayat tersebut dikatakan sebagai tidak masuk akal, maka ayat tersebut dikatakan sebagai satu pernyataan ayang tidak logik. Ayat kedua dirasakan lebih logik dan diterima akal kerana secara umumnya dapat diterima masyarakat bahawa matahari terbenam di sebelah barat.

Menurut Jos Daniel Parera (1999), sesuatu penyataan itu adalah ‘logik’ atau ‘tidak logik’ sekiranya kita mampu menghubungkan satu gagasan dan satu konsep gagasan dengan gagasan atau konsep yang lain.

(i) Orang itu kelaparan dan makan batu

( ayat diatas dikatakan tidak logik kerana hubungan antara ungkapan ‘makan’ dan ‘batu’ adalah bersifat tidak logik.)

(ii) Orang itu kelaparan dan makan nasi

( ayat diatas dikatakan logik kerana ‘nasi’ termasuk dalam kategori makanan manusia.)

Dalam ayat (i) di atas, kita tidak dapat menentukan bahawa konsep batu (stone) itu logik atau tidak logik. Hal ini kerana konsep ‘batu’ itu tidak ada hubungan dengan logik atau tidak logik. Akan tetapi masalah dari segi ‘logikal makna’ akan muncul sekiranya kita menghubungkan perkataan ‘batu’ dengan konsep atau gagasan yang lain. Ayat (i) diatas dikatakan tidak logik kerana hubungan antara ungkapan ‘makan’ dan ‘batu’ adalah bersifat tidak logik tetapi ayat (ii) diatas dikatakan logik kerana ‘nasi’ termasuk dalam kategori makanan manusia.

Oleh itu, dalam aspek berbahasa, kita perlu mengutamakan makna logikal. Hal inilah yang dikatakan sebagai logikal dalam berbahasa. Terdapat beberapa syarat dalam logikal berbahasa iaitu logikal berbahasa mestilah dapat memenuhi tututan pemikiran yang sistematik dan memenuhi unsur-unsur logikal. Dalam logikal berbahasa juga kita harus memenuhi hubungan antara konsep-konsep yang ditautkan disamping tidak boleh menimbulkan kontradiksi.

Sebagai contoh:

(i) Bayi itu memanjat pokok kelapa untuk memetik buah kelapa

(tidak logik dan tidak masuk akal)

(ii) Remaja itu memanjat pokok kelapa untuk memetik buah kelapa

(logik dan dapat diterima akal oleh masyarakat)

Ayat (i) di atas dikatakan tidak logik kerana tindakan ‘bayi’ yang memanjat pokok kelapa adalah perbuatan yang langsung tidak masuk akal. Maka, konsep bayi tidak mempunyai hubungan logik makna apabila ditautkan dengan gagasan ‘memanjat pokok kelapa’. Sebaliknya, ayat (ii) dikatakan lebih logik berbanding ayat (i) itu. Ini menunjukkan bahawa konsep ‘logik dan makna’ amat penting dalam berbahasa. Sesuatu penyataan atau ayat akan menjadi tidak logik sekiranya ia tidak diterima akal oleh masyarakat.


4.0 ANALITIK DAN SINTETIK

Menurut Jos Daniel Parera (1999), berfikir secara logik juga bermakna berfikir secara analitik. Ayat yang bersifat analitik perlu dibezakan dari ayat yang bersifat sintetik. Ayat yang bersifat analitik memerlukan kebenaran sebagai akibat daripada sense dari kata-kata yang terdapat di dalamnya. Sesuatu ayat yang bersifat analitik juga adalah ayat yang mengungkapkan idea-idea atau fakta-fakta yang diterima oleh akal logik manusia.

Sebagai contoh ayat analitik dan ayat sintetik dapat dilihat seperti berikut:

(i) Kucing adalah sejenis binatang (analitik)

(terdapat sense yang dimiliki oleh ‘kucing’ dan ‘binatang’)

(ii) Shuhaila berasal dari Kedah (sintetik)

( tiada sense dalam makna perkataan ‘Shuhaila’, ‘berasal’, dan ‘Kedah’ yang menunjukkan bahawa penyataan itu adalah benar(logik) atau salah (tak logik).

Ayat (i) di atas bersifat analitik iaitu ayat yang menyatakan kebenaran manakan ayat (ii) merupakan ayat yang bersifat sintetik. Hal ini sedemian adalah disebabkan tiada sense dalam makna perkataan “Shuhaila’, ‘berasal’, dan ‘Kedah’ yang menunjukkan bahawa pernyataan itu adalah benar(logik) atau salah (tidak logik). Sedangkan ayat (i) di atas merupakan ayat yang bersifat analitik kerana terdapat sense yang dimiliki oleh ‘kucing’ dan ‘binatang’. Sekiranya ayat (i) pertama itu dibuang menjadi ‘Kucing adalah sejenis burung’, maka ayat tersebut akan menjadi tidak logik dan tidak gramatis.


5.0 KONTRADIKSI

Kontradiksi adalah ayat yang mengandungi kesalahan ataupun ayat yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan kebenaran atau logikal.

Sebagai contoh:

(i) Binatang adalah sayuran

( tidak mempunyai makna logik kerana sense(makna) binatang dan sayuran adalah bertentangan).

Ayat (i) di atas adalah bersifat kontradiksi dan tidak mempunyai makna logik, hal ini adalah disebabkan sense (makna) binatang dan sayuran adalah bertentangan. Untuk menghasilkan sebuah ungkapan yang mempunyai makna kita perlu mengetahui sama ada ungkapan itu berkontradiksi atau tidak. Jika terdapat kata-kata yang digunakan itu mempunyai kontradiksi dari segi maknanya, maka kita perlu membetulkannya agar dapat menghasilkan suatu ayat atau ungkapan yang bertepatan dengan konsep makna logik.


6.0 ANALISIS KOMPONEN

Menurut Ruth Kempson (1991:22), analisis komponen makna atau fitur semantik merupakan cara untuk, ... mengzahirkan sejelas mungkin hubungan sistemis antara perkataan. Menurut pandangan ini, makna perkataan dikaji bukan sebagai himpunan yang terdiri daripada komponen makna dan komponen-komponen itu sendirinya merupakan ‘inti makna’.

Analisis komponen dikatakan antara kaedah yang terbaik untuk menganalisiskan makna-makna sesuatu perkataan atau mereduksi makna kata sehingga kesalahannya atau makna pertentangannya paling minimum. Sebagai contoh, sekiranya diberikan suatu analisis komponen terhadap elemen insan, dewasa, dan jantan. Melalui kaeddah analisis komponen, kita akan dapat membezakan lelaki, wanita, dan gadis dengan logik akal.

Contoh Analisis komponen dapat dilihat seperti berikut:

Lelaki = (+) insan --- (+) dewasa --- (+) jantan

Wanita = (+) insan --- (+) dewasa --- (-) jantan

Gadis = (+) insan --- (-) dewasa --- (-) jantan

Dalam logikal berbahasa, komponen insan, dewasa, jantan, adalah paling logik dirujukkan kepada perkataan lelaki, dan bukan wanita atau gadis.

Sebenarnya, bidang linguistik atau falsafah telah lama menjalankan usaha untuk menjelaskan asas makna dari segi hubungan satu perkataan dengan objek yang dirujuknya. Seorang ahli mantik yang bernama Tarski telah mengemukakan suatu teori kebenaran atau teori logikal pada tahun 1993. Beliau mencadangkan bahawa pencirian pada apa yang kita maksudkan dengan membicarakan tentang makna ayat itulah yang merupakan asas teori semantik dan bukannya pencirian pada makna perkataan . beliau telah membina satu skema rumus yang memastikan sesuatu pernyataan itu adalah logik dan benar sekiranya memenuhi suatu syarat yang tertentu.

Sebagai contoh:

A benar jika dan hanya jika S

Salji itu putih dan hanya jika salji itu putih


7.0 PRINSIP MAKNA LOGIK

Dalam prinsip makna logik, penggunaan dan pemilihan kata di dalam sesebuah ungkapan atau ayat adalah penting demi menghasilkan pernyataan yang logik serta diterima masyarakat. Sekiranya penggunaan kata yang tidak bersesuaian akan menjejaskan makna ayat tersebut dan boleh mendatangkan masalah kurang logikal.

Sebagai contoh:

(i) Kucing itu mengejar anjing

( tidak logik dan sukar diterima akal kerana kebiasaaannya anjing yang mengejar kucing ataupun anjing berlari lebih pantas daripada kucing )

(ii) Kucing itu mengekor anjing

( logik dan diterima masyarakat kerana mungkin seekor kucing itu berjalan atau berada di belakang anjing)

Ayat (i) di sebelah adalah tidak logik dan sukar diterima akal oleh sesetengah pihak kerana secara kebiasaannya adalah anjing yang mengejar kucing ataupun anjing adalah berlari lebih pantas daripada kucing. Maka, ayat (i) dikatakan terdapat unsur yang kurang logik dan kurang diterima sebagai ayat yang logik. Sebaliknya, masyarakat lebih senang menerima ayat (ii), iaitu kucing itu mengekor anjing kerana mungkin seekor kucing itu berjalan atau berada di belakang anjing tersebut.


8.0 AYAT YANG LOGIKAL DAN TIDAK LOGIKAL

Ayat yang mempunyai tahap logikal yang lebih tinggi dan lebih senang diterima oleh masyarakat dianggap sebagai suatu ayat yang logikal dan gramatikal.

Sebagai contoh:

(i) Jika Ahmad bujang, maka dia tidak pernah berkahwin.

(ii) Jika Asmah berlari ke rumah, maka dia pergi ke rumah.

(iii) Jika lelaki itu berkahwin dengan wanita itu, maka wanita itu adalah isterinya.

Ayat (i) di atas dianggap sebagai ayat yang berunsur logikal. Hal ini disebabkan ‘Ahmad’ yang masih bujang itu secara logiknya boleh dianggap sebagai dia tidak pernah berkahwin dengan sesiapapun sebelum ini. Disamping itu, pernyataan dalam ayat (ii) di atas juga boleh diterima sebagai ayat yang logikal. Manakala pernyataan ayat (iii) yang menyatakan “ Jika lelaki itu berkahwin dengan wanita itu, maka wanita itu adalah isterinya”. Pernyataan ini juga secara langsungnya dapat diterima oleh logik akal manusia sebagai ayat yang logik dan benar. Oleh itu ayat (i), (ii), dan (iii) di atas dikatakan sebagai ayat yang logik dari segi penjelasan ataupun maknanya.

Sebaliknya sesuatu ayat tidak dianggap sebagai ayat yang logikal jika sesuatu ayat tersebut akan menimbulkan satu persoalan atau kecurigaan.

Sebagai contoh:

(i) Jika Amy memukul Iera, maka Iera telah memukul Amy terlebih dahulu.

Ayat (i) di atas tidak dianggap sebagai ayat yang logikal. Hal ini adalah disebabkan ayat tersebut akan menimbulkan suatu persoalan atau kecurigaan iaitu jika Amy memukul Iera, tidak semestinya adalah Iera yang telah memukul Amy terlebih dahulu. Dengan itu akan menyebabkan kita merasa ragu-ragu terhadap pernyataan yang dikemukakan itu. Maka, ayat ini telah menjadi tidak logik dari segi penjelasannya dan kurang diterima oleh pengguna.


9.0 KESIMPULAN

Konklusinya, terdapat hubungan yang rapat antara perkataan dan makna. Sesuatu perkataan boleh membawa makna yang berlainan sekiranya digunakan dalam situasi yang berbeza. Dalam bidang sematik, makna telah dibahagikan kepada beberapa kategori seperti makna gaya, makna tekanan, makna tabu (taboo), makna logik dan sebagainya. Oleh sebab sesuatu perkataan boleh mengandungi makna yang berbeza-beza apabila digunakan, maka pembahagian makna kepada beberap jenis ini dikatakan adalah amat perlu dan wajar supaya kita dapat memahami makna yang sebenar. Justeru, makna sesuatu perkataan harus dilihat dari pelbagai sudut yang lain iaitu situasi dan logik. Secara ringkasnya, sesuatu ayat ataupun ungkapan itu adalah tidak bermakna sekiranya ia didapati mengandungi unsur-unsur yang tidak logik dan akhirnya ia juga akan menjadi kurang senang diterima bagi sesetengah pengguna bahasa.


RUJUKAN

Abdullah Hassan, 1992. Semantik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka &

Kementerian Pelajaran Malaysia

Abdul Chaer, 1990. Pengantar Semantik Bahasa Indonesia. Jakarta: PT Rineka Cipta.

John Lyons (1993). Pengenalan linguistik teoris (Abdullah Hassan, Rogayah abdul Razak &

Wan Zailena Mohd.Nordin, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mansoer Pateda. 1995. Kosakata dan pengajarannya. Indonesia: Penerbit Nusa Indah.

Ruth M. Kempson (1991). Teori Semantik (Zaiton Ab. Rahman, Terjemahan). Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

0 CoNViNieNT: