1.0 PENDAHULUAN
Ada apa dengan bahasa Melayu?. Persoalan ini sering diajukan segelintir pihak yang ingin menjatuhkan martabat dan kebolehan bahasa Melayu sebagai alat untuk mencapai kemajuan dalam era globalisasi walaupun pada hakikatnya bahasa Melayu tidaklah sedaif itu. Persoalan tentang ada apa dengan bahasa Melayu timbul kerana mereka terlalu mengagungkan bahasa Inggeris yang dianggap lebih global sehingga mereka lupa bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai dan potensinya yang tersendiri sejak ratusan tahun lagi. Janganlah hanya kerana mendengar guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan. Rakyat Malaysia seharusnya sedar akan pengiktirafan tinggi yang diperoleh bahasa Melayu. Hal ini jelas ditunjukkan dalam perkara 152, Perlembagaan Malaysia, bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan iaitu bahasa yang digunakan untuk tujuan perpaduan dalam kalangan warganegara. Pada tahun 1967, bahasa Melayu telah dijadikan pula bahasa rasmi dan seterusnya mulai tahun 1983, bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar secara berperingkat-peringkat di institut pengajian tinggi. Perubahan taraf ini menimbulkan implikasi sosiopolitik yang luas kerana Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, dan India di samping pelbagai etnik yang lain seperti kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak Hal ini bererti bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa kemajuan dan perpaduan negara serta mempunyai nilai tambahan yang merentas segala kepentingan bahasa-bahasa lain. Oleh itu nilai dan potensi bahasa Melayu yang telah disedari sejak dahulu lagi harus dihayati oleh semua penuturnya dan langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak seharusnya dipandang sepi begitu sahaja tetapi diamalkan rakyat Malaysia amnya.
Ada apa dengan bahasa Melayu?. Persoalan ini sering diajukan segelintir pihak yang ingin menjatuhkan martabat dan kebolehan bahasa Melayu sebagai alat untuk mencapai kemajuan dalam era globalisasi walaupun pada hakikatnya bahasa Melayu tidaklah sedaif itu. Persoalan tentang ada apa dengan bahasa Melayu timbul kerana mereka terlalu mengagungkan bahasa Inggeris yang dianggap lebih global sehingga mereka lupa bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai dan potensinya yang tersendiri sejak ratusan tahun lagi. Janganlah hanya kerana mendengar guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan. Rakyat Malaysia seharusnya sedar akan pengiktirafan tinggi yang diperoleh bahasa Melayu. Hal ini jelas ditunjukkan dalam perkara 152, Perlembagaan Malaysia, bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan iaitu bahasa yang digunakan untuk tujuan perpaduan dalam kalangan warganegara. Pada tahun 1967, bahasa Melayu telah dijadikan pula bahasa rasmi dan seterusnya mulai tahun 1983, bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar secara berperingkat-peringkat di institut pengajian tinggi. Perubahan taraf ini menimbulkan implikasi sosiopolitik yang luas kerana Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, dan India di samping pelbagai etnik yang lain seperti kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak Hal ini bererti bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa kemajuan dan perpaduan negara serta mempunyai nilai tambahan yang merentas segala kepentingan bahasa-bahasa lain. Oleh itu nilai dan potensi bahasa Melayu yang telah disedari sejak dahulu lagi harus dihayati oleh semua penuturnya dan langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak seharusnya dipandang sepi begitu sahaja tetapi diamalkan rakyat Malaysia amnya.
2.0 NILAI DAN POTENSI BAHASA MELAYU
Nilai dan potensi bahasa Melayu telah lama disedari iaitu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi. Hal ini boleh dilihat berdasarkan kemampuan bahasa Melayu dalam pembentukan sejarah, penyebaran ilmu sains dan teknologi, penyebaran syiar Islam dan pelaksanaan undang-undang.
2.1 PEMBENTUKAN SEJARAH
Nilai dan potensi bahasa Melayu boleh dilihat berdasarkan kemampuan bahasa ini dalam pembentukan sejarah bahasa dan bangsanya. Perkembangan bahasa Melayu dikatakan bermula sejak kurun ke-7 lagi bermula pada zaman kerajaan Melayu terawal empayar Sriwijaya. Kajian yang dibuat oleh ahli linguistik sejarah dan ahli antropologi serta arkeologi pula menunjukkan bahawa sudah dua alaf bahasa Melayu wujud di alam Melayu. Buktinya, sejak abad ke-15 lagi bahasa Melayu telah digunakan oleh Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Melayu di seluruh alam Melayu sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan untuk menguruskan soal perdagangan, undang-undang, ekonomi dan hubungan diplomasi pada waktu itu. Zaman kegemilangan bahasa Melayu berterusan sehingga pemerintahan kerajaan Johor-riau dan seterusnya disambung semasa zaman keemasan kerajaan Acheh. Keagungan bahasa Melayu dibuktikan dengan hasil penemuan arkieologi seperti yang terdapat pada prasasti dan batu bersurat selain penelitian ahli filologi terhadap naskah dan manuskrip lama, kitab-kitab agama, serta surat kiriman raja-raja Melayu berbahasa Melayu. Sebagai contoh, menurut Mohd Arif Atan (2007:20), hasil usaha Pigafetta dari Itali sekitar tahun 1521 telah berjaya mengumpulkan 426 kosa kata bahasa Melayu berserta maknanya dalam bahasa Itali. Potensi bahasa Melayu ternyata begitu kuat sehinggakan pendatang asing berusaha mempelajari dan menguasai bahasa melayu sebagai langkah untuk menempatkan diri dalam ekonomi Melaka. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah lama menonjolkan nilai dan potensinya dalam proses pembentukan sejarah sehingga berjaya menarik minat bangsa lain untuk mengkajinya dengan lebih mendalam.
2.2 PENYEBARAN ILMU SAINS DAN TEKNOLOGI
Selain itu, potensi dan nilai bahasa Melayu bukan sahaja dinilai berdasarkan sejarah penggunaannya malah bahasa Melayu terbukti mempunyai peranan yang besar dalam penyebaran ilmu sains dan teknologi. Terdapat banyak manuskrip lama bahasa Melayu yang membincangkan pelbagai disiplin ilmu sains dan teknologi. Bahan tersebut tersimpan di Belanda, Britain, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat selain yang tersimpan di kepulauan Melayu sendiri iaitu Malaysia dan Indonesia. Menurut Mohd Arif Atan (2007:20), berdasarkan kajian Prof Shaharir Mohamad Zain iaitu seorang ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), terdapat juga naskah buku atau manuskrip bahasa Melayu yang tidak membincangkan secara khusus tentang ilmu sains, matematik dan teknologi tetapi secara tidak langsung tetap mengandungi ilmu tersebut. Sebagai contoh, cerita-cerita rakyat seperti cerita Pak Kaduk, Mat Jenin, Lebai Malang, dan Pak Pandir. Walaupun cerita ini mempunyai unsur jenaka dan tauladan tetapi jika diteliti secara ilmiah, terbukti bahawa terdapat konsep dan falsafah matematik yang diterapkan dalam cerita tersebut. Unsur matematik juga terdapat dalam hikayat penglipur lara seperti Malim Deman, Awang Sulung Merah Muda dan Anggun Cik Tunggal. Hal ini terbukti bahawa betapa uniknya bahasa Melayu itu menyampaikan ilmu dengan pelbagai cara yang menarik perhatian pembacanya. Bahasa Melayu juga ternyata telah berkembang maju dari segi sains dan teknologi mendahului negara barat. Kini, dalam mencapai wawasan 2020, bahasa Melayu ternyata telah diyakini mampu bergerak maju seiring bahasa dunia yang lain. Hal ini terbukti apabila Malaysia sendiri berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang seperti bidang automobil dan kejuruteraan
2.3 PENYEBARAN SYIAR ISLAM
Seterusnya nilai dan potensi bahasa Melayu juga telah diakui sebagai salah satu bahasa dunia yang digunakan untuk menyebarkan syiar Islam di kepulauan Melayu. Hal ini berdasarkan jumlah penuturnya yang ramai dan potensinya sebagai bahasa kemajuan dalam pelbagai bidang. Penyebaran syiar Islam di kepulauan Melayu pastinya tidak dapat dilaksanakan sekiranya disampaikan dalam bahasa Arab atau bahasa-bahasa lain. Oleh itu, proses penyebaran syiar Islam menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa ini dilihat lebih praktikal dalam konteks kawasan penyebarannya. Dalam proses penyebaran ini, kitab-kitab lama telah ditulis dalam bahasa Melayu malah terdapat banyak terjemahan karangan berbahasa Arab dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, kitab Dar al Mazlum yang dihasilkan semasa kerajaan Pasai oleh ulama Arab telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Selain kitab itu, terdapat manuskrip tertua yang dijumpai setakat waktu ini iaitu Aqa’id al-Nasafi bertarikh 1509 yang jelas membuktikan nilai dan potensi bahasa Melayu sebagai alat penyebaran ilmu. Penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja terhad dalam kepulauan Melayu malah tersebar hingga ke negara Timur Tengah, Mekah dan Madinah serta di Afrika Selatan. Hal ini membuktikan bahawa nilai dan potensi bahasa Melayu telah lama disedari pelbagai pihak dan pengaruhnya dalam menyebarkan sesuatu ajaran atau agama telah membuatkan bahasa Melayu unggul di kaca mata orang Islam di seluruh dunia. Oleh itu, tiada perkara yang perlu dipersoalkan tentang bahasa Melayu kerana bahasa Melayu ternyata mampu mengubah pemikiran dan fahaman bangsa Melayu itu sendiri ke tahap yang lebih baik untuk menerima kebenaran tuhan yang maha Esa.
2.4 PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG
Disamping itu, nilai dan potensi bahasa Melayu telah lama diakui berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam perlaksanan undang-undang negara. Bahasa Melayu jelas terbukti mampu menegakkan keadilan bagi menjamin kestabilan sosial masyarakat yang pelbagai. Hal ini penting kerana masyarakat Malaysia adalah berbilang kaum dan agama serta mempunyai pelbagai kepercayaan yang harus dihormati. Sensitiviti semua pihak harus dijaga supaya keamanan negara terus terpelihara dan tidak timbul soal berat sebelah kerana bahasa Melayu telah lama berfungsi dalam alam Melayu. Kemampuan bahasa Melayu dalam perlaksanaan undang-undang terbukti dengan kewujudan teks ketatanegaraan dan undang-undang seperti Bustanul Salalatin, Undang-undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang 99. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan pengiktirafan Undang-undang Laut Melaka sebagai undang-undang maritim pertama yang wujud di dunia. Bayangkan jika bahasa Inggeris, bahasa Cina atau bahasa Tamil yang digunakan, sudah tentu hanya segelintir penuturnya yang memahami bahasa itu dan isi kandungan undang-undang yang digubal. Oleh itu, jelas terbukti bahawa nilai dan potensi bahasa Melayu telah lama merentasi pelbagai bidang serta mendahului pelbagai bahasa yang dianggap lebih global pada masa kini. Walaupun zaman beralih, musim bertukar namun setelah beberapa dekad, bahasa Melayu ternyata masih berfungsi dalam perlaksanaan undang-undang dan perlembagaan Malaysia. Diharapkan supaya kedudukan bahasa Melayu terus dipertahankan kerana nilai dan potensi yang dimilikinya. Janganlah nanti bahasa Melayu dibiarkan terlayang-layang bagai bulu sehelai, seolah-olah hidup segan, mati tidak mahu.
3.0 LANGKAH MEMARTABATKAN
Nilai dan potensi bahasa melayu telah lama diketahui umum. Namun dalam mencapai era globalisasi ini, langkah yang sewajarnya harus diambil untuk mengekalkan kemurnian bahasa melayu supaya tidak dicemari oleh anasir-anasir luar.
3.1 PENYELARASAN EJAAN DAN SEBUTAN
Dalam proses mempertahankan martabat bahasa Melayu, terdapat banyak perkara yang perlu diberi penekanan termasuklah penyelarasan ejaan dan sebutan.. Terdapat begitu banyak kesalahan ejaan yang dilakukan walaupun sistem ejaan Rumi baharu telah dilancarkan pada tahun 1972 oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada waktu itu Y.B. Dato’ Hussein Onn ( kini Allayarham Tun ). Kesalahan ejaan boleh dilihat melalui iklan, nama premis dan tulisan papan tanda yang masih menggunakan sistem ejaan lama. Masalah ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada generasi muda malah mencacatkan identiti Malaysia kerana bahasa melambangkan bangsa. Sebagai contoh, perkataan ‘tasik’ pada papan tanda yang masih dieja ‘tasek’. Pihak Berkuasa Tempatan harus bertindak merombak kembali semua kesalahan ejaan ini secepat mungkin dan mengambil tindakan terhadap premis yang melakukan kesalahan tersebut. Selain soal ejaan, rakyat Malaysia juga harus digalak menggunakan sebutan yang baku dan standard terutamanya dalam majlis rasmi supaya tidak berlaku kecelaruan dan martabatat bahasa Melayu terpelihara. Hal ini tidak bermakna rakyat harus melupakan dialek negeri masing-masing tetapi penggunaannya harus sesuai dengan keadaan dan tempat. Bak kata pepatah “masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang harimau mengaum”
3.2 PENGUATKUASAAN BAHASA MELAYU
Antara langkah lain untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam. Rakyat Malaysia harus disemai dengan sifat bangga akan bahasa sendiri dan bukan mengagungkan bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Bahasa Melayu perlu diwajibkan penggunaannya dalam majlis rasmi yang melibatkan jumlah hadirin yang ramai supaya budaya membahasakan bahasa Melayu ditanam dalam diri rakyat. Bayangkan negara Jepun tetap maju walaupun kebanyakan rakyatnya langsung tidak mempelajari malah tidak memahami bahasa Inggeris. Namun negara Jepun tetap berkembang maju bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi malah dalam segala bidang setanding dengan negara kuasa besar. Oleh itu, Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mengambil langkah yang lebih agresif dalam meningkatkan martabat bahasa melayu keperingkat yang lebih tinggi dengan menganjurkan pelbagai kempen dan menghasilkan lebih banyak bahan bacaan berbentuk ilmiah yang dapat meningkat semangat untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak Berkuasa Tempatan pula perlu meningkatkan pemantauan supaya penamaan sesuatu tempat, jalan ataupun bangunan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini perlu dalam meningkatkan kesedaran tentang nilai dan potensi bahasa Melayu yang begitu unik kerana terdapat banyak perkataan Melayu yang indah dan sesuai digunakan untuk tujuan komersil dan publisiti.
4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, persoalan tentang ada apa dengan bahasa Melayu tidak perlu dijadikan isu lagi kerana nilai dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ternyata diakui memandangkan hanya bahasa Melayu sahaja yang dapat merentas segala sempadan budaya dan bahasa-bahasa etnik lain sebagai alat kemajuan dan perpaduan antara rakyat di Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan salah satu aspek yang benar-benar diperjuangkan oleh pejuang kemerdekaan dahulu. Perjuangan pendaulat bahasa Melayu yang telah diasaskan oleh pejuang kemerdekaan dahulu hendaklah diteruskan dalam usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang mampu mencapai tahap globalisasi. Matlamat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai jati diri bangsa dan negara kita telah dicapai dengan termaktubnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan pada tahun 1956. Oleh itu, generasi kini tidak sepatutnya memandang sepi terhadap perjuangan tersebut dan adalah menjadi tanggungjawab bersama terus mengatasi kekurangan yang ada pada bahasa Melayu agar bahasa ini kekal unggul. Janganlah nanti bahasa Melayu dibiarkan terlayang- layang bagai bulu sehelai. Bak kata pepatah “mati bahasa, matilah bangsa”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa perkembangan bahasa Melayu sebenarnya melambangkan kemampuan bangsa itu sendiri.
BIBLIOGRAFI
Datuk Dr. Hassan Ahmad (2007, Mac 21). Nilai dan potensi bahasa Melayu. Klik DBP, Berita Harian, 3.
Melayu sendiri yang buang bahasa Melayu! (2007, April 16-30). Fikrah, 33.
Mengapa tasik masih dieja tasek? (2006, Mei 17). Klik DBP, Berita Harian, 12.
Mohd Arif Atan (2007,Mac 30-April 19). Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa global. Siasah, 20.
Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2003). Bahasa Melayu STPM (Kertas 1&2). Selangor Darul Ehsan: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Noraini Abd. Shukor (2005, September 19). Penguatkuasaan bahasa Melayu di tempat awam dipertingkat. Berita Harian.
Normala Mohamad Yusof (2006, Mei 17). Nama restoran kembangkan bahasa Melayu. Klik DBP, Berita Harian, 12.
0 CoNViNieNT:
Post a Comment